SEJARAH
PERKEMBANGAN PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM NEGERI PERLIS
Hasrat untuk
menubuhkan sebuah “Khutub Khanah atau perpustakaan” telah bermula sejak tahun
1966. Sebuah Jawatankuasa Khutub Khanah telah ditubuhkan untuk memulakan
langkah tersebut. Mesyuarat pertama telah diadakan pada 28 September 1968 dan
bersetuju menggunakan Bilik Pertahanan Awam di Bangunan Mahkamah Lama yang
terletak di Jalan Kelab Indera Kayangan, Kangar sebagai tapak permulaan bagi
memulakan sebuah Khutub Khanah di negeri Perlis. Segala kelengkapan seperti
buku diperolehi melalui sumbangan derma daripada pihak swasta, ahli-ahli
perniagaan dan orang perseorangan. Perubahan tempat ini sesuai berbanding
dengan usaha awal tahun 1966 di mana ia hanya menumpang di bangunan Kelab Indera
Kayangan, Kangar.
Khutub Khanah Negeri Perlis 1969-1987
PEMBUKAAN
RASMI
Khutub Khanah itu
menggunakan Bilik Pertahanan Awam pada 15 Februari 1969 setelah pihak JKR
menjalankan kerja-kerja ubah suai bangunan tersebut di bawah pengawasan juruteranya
iaitu Encik Lim Teik Mei. Pada peringkat permulaan, Khutub Khanah hanya dibuka
sebagai bilik bacaan sahaja kerana koleksi buku-buku yang ada belum mencukupi
untuk dipinjam sehinggalah pertengahan Julai 1970, perkhidmatan pinjaman
dibenarkan setelah jumlah koleksi buku meningkat kepada 5,000 naskah. Bangunan
Khutub Khanah yang mempunyai keluasan lantai 3,600 kaki persegi telah dibuka
dengan rasminya oleh DYMM Tuanku Raja Perlis pada 20 April 1969. Ia merupakan
satu detik bersejarah bagi negeri Perlis kerana ia merupakan salah sebuah
negeri yang mula-mula sekali dapat mengadakan sebuah Khutub Khanah di
Semenanjung Malaysia.
PERKEMBANGAN KHUTUB KHANAH
Khutub Khanah
telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat di negeri Perlis
khususnya pelajar sekolah dan siswazah yang balik bercuti untuk digunakan
sebagai tempat rujukan. Keadaan ruang sedia ada semakin sempit apabila pengguna
semakin ramai serta koleksi buku bertambah setiap tahun. Akhirnya, Pejabat
Kebajikan Masyarakat yang berada sebumbung dengan Bilik Pertahanan Awam telah
menyerahkan ruangnya untuk digunakan oleh Khutub Khanah.
KELENGKAPAN
DAN KOLEKSI
Pada ketika itu,
kelengkapan yang disediakan hanya dua buah rak buku, dua buah meja dan enam belas
kerusi pembaca, dan sebuah almari yang dihadiahkan oleh Persatuan Teksi dan
sebuah kabinet katalog sumbangan YB Dato’ Azizul Rahman.
Koleksi buku
telah meningkat kepada 7198 naskhah pada tahun 1972, yang kebanyakannya
diperolehi melalui sumbangan daripada pihak USIS, DBP, British Council dan
Kedutaan-kedutaan di Kuala Lumpur.
Ruang bacaan di bangunan lama
ENAKMEN PERPUSTAKAAN
Perkembangan
Khutub Khanah Negeri telah mendapat perhatian daripada Perpustakaan Negara.
Pengarah Perpustakaan Negara, Encik Saad Marzuki serta Encik Wijasuriya selaku
Timbalan Pengarah telah mengadakan lawatan ke negeri Perlis untuk berbincang
dengan Jawatankuasa berkenaan mengenai masalah dan kesulitan yang dihadapi
dalam menguruskan perjalanan Khutub Khanah ini. Mereka juga sempat bertemu
dengan YAB Menteri Besar, Datuk Jaafar Hassan dan mengesyorkan Kerajaan Negeri
mewujudkan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri sebagai Badan Berkanun. Langkah
ini bertujuan membolehkan kakitangan ikhtisas yang mempunyai kelulusan dalam
bidang Sains Perpustakaan, dilantik bagi mentadbirkan perpustakaan yang sedia
ada dengan lebih teratur dan sistematik lagi. Satu enakmen yang dinamakan
“Enakmen Perbadanan Perpustakaan Umum Negeri Perlis” telah dapat digubal dengan
bantuan daripada Perpustakaan Negara dan diwartakan secara rasmi pada 20 Nov
1973. Dengan termeterainya enakmen tersebut, Perbadanan itu dengan rasminya
mengambil alih perjalanan Khutub Khanah Negeri.
PERKEMBANGAN
SELEPAS MENJADI PERBADANAN
Pada tahun 1976,
seorang Penolong Pustakawan telah dilantik bagi mengetuai pentadbiran
perpustakaan ini dengan dibantu oleh seorang Pembantu Perpustakaan, Pelayan
Perpustakaan serta seorang Penyemak Perpustakaan Sambilan. Pada tahun 1977,
Lembaga Pengarah Perbadanan bersetuju menukarkan nama Perpustakaan Umum kepada
Awam bagi menyeragamkannya dengan Perbadanan-perbadanan Perpustakaan Negeri
lain.
PROJEK BANGUNAN BAHARU
Bangunan PPANPs sekarang Bangunan baru PPANPs tahun 1988 |
Peruntukan
sebanyak RM1 juta telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga untuk projek
bangunan baharu perpustakaan dengan keluasan lantai 25,000 kaki persegi. Di
atas masalah kemelesetan ekonomi dan perubahan tapak maka pelaksanaan projek
ditangguhkan sehinggalah ke Rancangan Malaysia Kelima. Bangunan baharu
Perpustakaan Negeri siap pembinaannya pada Disember 1987. Pembukaan rasminya
disempurnakan oleh DYMM Tuanku Raja Perlis pada 20 September 1988.
PERISTIWA PENTING
Majlis
menandatangani Memorandum Perjanjian (MoU) pengambilalihan khidmat Pengurusan
Sumber Manusia Perpustakaan Awam Negeri Perlis di bawah Perpustakaan Negara
Malaysia telah diadakan pada 16 Mei 2010 .
Perjanjian ini telah ditandatangani oleh YBhg. Datuk Wira Kamaruddin
Siaraf, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan
YB Dato’ Mohd Zabidi Zainal, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis di Auditorium
Perpustakaan Awam Negeri Perlis. Dengan termetrainya perjanjian ini, maka
pengurusan sumber manusia Perpustakaan Awam Negeri Perlis dengan rasminya kini
berada di bawah Perpustakaan Negara Malaysia.
Walau bagaimanapun Enakmen PPANPerlis Bil 1 tahun 1984 masih terpakai
dan Ahli Lembaga Pengarah yang dilantik juga dikekalkan. Majlis penyerahan
rasmi perjanjian ini telah disempurnakan pada 17 Jun 2011 oleh YAB Menteri
Besar Perlis kepada Ketua Pengarah PNM di Perpustakaan Negara Malaysia.
PENGUBAHSUAIAN PERPUSTAKAAN KANAK-KANAK
Perpustakaan Kanak-Kanak Kangar Perlis mula diubahsuai pada 2017 untuk menaiktaraf perkhidmatan kepada masyarakat negeri Perlis.
Sebelum Pengubahsuaian
Selepas pengubahsuaian
0 comments:
Post a Comment