Tuesday 7 March 2017

Pameran perpustakaan sempena Pesta Angin Timur 2017


Pesta Angin Timur 2017 berlangsung dengan jayanya pada 3-5 March 2017. Pesta Angin Timur ini merupakan anjuran kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perlis dengan kerjasama Pejabat Pelancongan Negeri Perlis serta kerajaan negeri Perlis. Pelbagai aktiviti dijalankan selama 3 hari program berlangsung. Sebanyak 90 lebih jabatan dan agensi bekerjasama menjayakan program Pesta Angin Timur ini.

Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis turut bekerjasama terlibat dalam program tersebut. Antara aktiviti yang diadakan seperti teka jumlah berat padi, pameran perpustakaan, pameran buku, info dan kuiz mengenai Angin Timur, mewarna, pameran bas e pustaka, sudut bacaan dan sebagainya. Seramai lebih kurang 2000 orang membanjiri booth Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis sepanjang 3 hari program dijalankan.
pameran buku dan hadiah basikal untuk teka berat padi


Info dan kuiz angin timur

khemah perpustakaan

Aktiviti mewarna kanak-kanak
Sebahagian jawatankuasa pameran perpustakaan pada hari ke 3 - pagi

Che Eina bersama Kubota Berhias

Program yang besar. Sebahagian gerai nun jauh sehingga ke belakang. Sayup mata memandang



Sedikit perkongsian Info mengenai 'Angin Timur'

Angin Timur

‘Angin Timur’ bermaksud musim timur yang membawa angin yang agak sejuk antara bulan Disember hingga Mac setiap tahun.

Ángin Timur’ sangat unik kerana Perlis mempunyai cuaca yang agak panas di Malaysia sepanjang tahun.



Aktiviti-Aktiviti petani di Musim Timur

Ketika musim timur, sebahagian besar daripada lebih 26,500 hektar kawasan tanaman padi di Perlis telah dituai dan sawah mula kering.

Bagi para petani khususnya pesawah, musim timur adalah masa untuk mereka berehat sebelum memulakan musim baru persawahan pada musim barat yang membawa hujan.



Bermain wau

Kawasan sawah yang lebih dikenali sebagai "bendang" oleh masyarakat tempatan akan berubah wajah menjadi tempat bermain wau,

Suatu ketika dahulu, musim timur diwarnai dengan pelbagai kegiatan penduduk termasuk bermain wau tradisional yang beraneka jenis dan corak

Antaranya wau helang, wau bulan, wau jala budi, wau merak dan wau kucing yang mengeluarkan pelbagai bunyi daripada dengung yang dipasang di busur wau

Selain menjadi dengung yang bunyinya terhasil mengikut kekuatan angin di udara, busur juga berperanan sebagai pengimbang wau.



Mengemping / menumbuk emping

Suatu ketika dahulu, kegiatan mengemping atau menumbuk emping terutama pada waktu malam bulan mengambang. Irama alu bertingkah memecah keheningan malam ketika kegiatan menumbuk emping daripada padi pulut berlangsung di kampung-kampung

Kegiatan itu membabitkan antara dua dan enam penumbuk emping yang berkongsi lesung yang sama dan setiap hentakan daripada alu yang berbeda itu menghasilkan irama tersendiri



Serunai batang padi

Pada masa yang sama, ada penduduk yang membuat serunai batang padi dan meniupnya bagi menghasilkan bunyi yang indah.

Batang padi yang dijadikan serunai biasanya dibalut dengan daun kelapa supaya ia lebih mantap dan mudah dipegang.



Mengagau ikan

Bagi yang berminat untuk bermain lumpur, boleh sahaja mencuba kegiatan menggagau ikan di sungai-sungai yang mulai kering airnya.

Di situ anda boleh menguji kebolehan menangkap ikan haruan yang bersembunyi dalam lumpur menggunakan tangan



Aktiviti-aktiviti lain

Selain itu, kawasan bendang turut dijadikan padang bola sepak bendang, tapak sukaneka dan persembahan kebudayaan selain menjadi tapak majlis kenduri.



Pesta Angin Timur oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perlis



Melihat kepada potensi ini, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perlis dengan kerjasama Pejabat Pelancongan Negeri Perlis serta kerajaan negeri Perlis mula menganjurkan acara Pesta Angin Timur



Pesta Angin Timur adalah mengambil nama sempena peredaran musim daripada sejuk kepada musim panas yang dibawa oleh angin dari sebelah timur ke negeri Perlis. Diketika ini lah padi sudah selesai dituai dan menanti petak sawah digenangi air semula untuk tanaman padi musim seterusnya. Berlatarbelakangkan suasana kampung, program ini mampu memaparkan keaslian dan keindahan budaya tempatan serta menjurus kepelbagaian aktiviti cara hidup masyarakat pesawah melalui acara-acara yang disediakan serta dapat juga menikmati keenakan masakan dan makanan tradisional tempatan.



Disediakan oleh:

Skuad Promosi Perpustakaan

Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis





Rujukan:

Badang Bendang jadi tarikan Pesta Angin Timur. URL : http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/badang-bendang-jadi-tarikan-pesta-angin-timur-1.67228



Musim Timur Kembali Lagi URL : http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/utara/musim-timur-kembali-lagi-1.371134



Nostalgia Pesta Angin Timur . URL : http://www.hmetro.com.my/node/42143



Keunikan Pesta Angin Timur tarik pelancong ke Perlis : URL http://www.bharian.com.my/node/133260



Eldawati binti Laung (2017). Kenyataan media : Pesta Angin Timur Perlis 2017 mensasarkan100,000 pengunjung.




0 comments:

Post a Comment